Persepsi Guru Terhadap Pembangunan Perisian Kursus
(Course Ware) Bahasa Malaysia Di Sekolah Rendah
Dr. Rosseni Din
Siti Zuraida Abdul Manaf
Abstrak
Kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti keberkesanan penggunaan perisian kursus (courseware) dalam subjek Bahasa Malaysia di Peringkat Sekolah. Instrumen kajian yang digunakan adalah dengan menggunakan kaedah menembual pihak pentadbir, guru dan pelajar tahun enam dan memfokuskan kepada tahap persepsi guru dan pelajar terhadap penggunaan perisian kursus Bahasa Malaysia yang dibuat di Sekolah Rendah Kebangsaan. Hasil dari temubual ini, Kajian Kualitatif akan dijalankan akan diproses dengan menggunakan NVivo 8.0. Dari hasil kajian tersebut akan dapat membantu penyelidik untuk mengetahui persepsi guru terhadap pembangunan perisian kursus dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia.
1.0 Pengenalan
Dalam bidang pendidikan khususnya, penguasaan ICT di kalangan pelajar, guru dan pensyarah telah meningkat. Penguasaan guru dengan kaedah pengajaran berbantukan komputer semakin meningkat dan komputer juga bukan sahaja digunakan alat dan bahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran malah lebih jauh dari itu. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga sedang berusaha dengan lebih gigih untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dengan mengukuhkan penggunaannya sebagai bahasa pengantar dalam proses pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan matlamat kerajaan dalam Memartabatkan Bahasa Malaysia, dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kementerian Pelajaran Malaysia juga akan melaksanakan transformasi Bahasa Malaysia dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui pendekatan modular, bersepadu, seimbang dan holistik. (Sumber Bahagian Hal Ehwal Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia, Januari 2010).
Di antara transformasi yang dijalankan, adalah seperti mengintegrasikan ICT (Information and communication technologies) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia. Transformasi yang dicadangkan ini akan sekaligus meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa di Malaysia. Penguasaan ICT dalam bidang pendidikan dikalangan guru, pelajar dan pensyarah juga telah meningkat. Penguasaan guru dalam bidang ini bukan sekadar untuk menjadikannya sebagai alat dan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran dan lebih bermanfaat dari itu.
Dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi maklumat telah banyak membawa kepada perubahan terhadap kaedah pengajaran bahasa. Daripada kaedah konvesional dalam bilik darjah, pengajaran bahasa kini telah berkembang seperti pengajaran di alam siber. Melalui kaedah ini, para pendidik bahasa dapat berkomunikasi dan mengajar melalui komputer yang menghubungkan perisian komputer yang digunakan dan modem. Pendekatan yang sering digunakan untuk mengajar pelajar di sekolah ialah dengan menggunakan kaedah konvesional iaitu dengan menggunakan buku teks dan papan hitam. Guru hanya mengikut objektif dan aktiviti dalam pengajaran yang akan dijalankan pada subjek-subjek modul yang ditetapkan. Terdapat juga guru yang hanya memenuhi objektif untuk menghabiskan silibus buku teks KBSR(Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah).
2.0 Kajian Literatur
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa penggunaan ICT untuk pembelajaran bahasa mendapati bahawa pelajar mampu mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang berkenaan. Justeru itu kajian ini juga akan menerangkan proses pembangunan perisian multimedia yang akan digunakan oleh para pelajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pembelajaran bahasa.
Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan dalam pengajaran berbantukan bahasa, diantaranya adalah pengajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Jepun , dan Bahasa Arab. Sistem pembelajaran tersebut adalah dengan berbentukan elemen ICT seperti multimedia. Aplikasi multimedia yang digunakan termasuklah penggunaan audio, video, bunyi, imej, visualisasi, dan sebagainya.
Selain itu, terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan dengan mengintegrasikan ICT dalam pembelajaran. Sebagai contoh, dalam pembangunan perisian pembelajaran matematik. Terdapat kajian yang telah dijalankan dengan membangunkan prototaip pembelajaran berbantukan komputer yang telah dijalankan bagi subjek matematik untuk pelajar sekolah menengah di tingkatan 4.
3.0 Pernyataan Masalah
Pendidikan merupakan bidang yang sentiasa mengalami perubahan mengikut kesesuaian dengan perkembangan yang berlaku pada persekitarannya. Perubahan tersebut banyak memberi kesan dalam pendidikan, terutamanya dalam aspek kurikulum . Justeru itu, para pendidik seharusnya bergerak seiringan dengan tuntutan perubahan yang berlaku dalam menyampaikan ilmu pengetahuan. Subjek Bahasa Malaysia merupakan subjek yang penting kerana Bahasa Malaysia juga adalah bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di Malaysia. Di peringkat sekolah rendah, Bahasa Malaysia juga merupakan subjek teras yang merangkumi pemahaman dan penulisan.
Dari pemerhatian awal penyelidik, pembelajaran dengan menggunakan komputer adalah lebih proaktif dan pembelajaran lebih berpusatkan kepada para pelajar. Pelajar akan lebih aktif dalam kelas dengan melihat visual yang dipamerkan pada skrin. Sebagai contoh, pelajar diberikan tugasan untuk membina ayat berdasarkan visual yang dipaparkan. Pelajar lebih berminat dan lebih aktif memberi idea dan pendapat dengan melihat visual dan grafik yang bergerak berbanding dengan gambar yang statik.
Sesetengah pelajar hanya mempunyai kemahiran menyalin dari memahami isi pembelajaran yang ingin disampaikan oleh guru. Dengan hanya menggunakan teknik pengajaran konvesional, pelajar yang tidak berminat dengan pembelajaran juga tidak menumpukan perhatian dalam kelas, dan tidak kurang juga ada pelajar yang tertidur. Objektif pembelajaran juga tidak dapat dicapai sepenuhnya. Jadi, dengan adanya aktiviti-aktiviti yang lebih menarik, sekaligus akan lebih menarik minat pelajar untuk menumpukan perhatian dalam kelas.
Namun, di peringkat sekolah rendah khasnya, guru masih lagi serasi menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru dan kaedah tradisional. Kaedah tradisional tersebut adalah dengan menggunakan kapur dan papan hitam dan pembelajaran hanya berpusatkan kepada pelajar itu sendiri. Berdasarkan analisis statistik peperiksaan UPSR peringkat Malaysia, pada tahun 2009 terdapat 6.6 peratus pelajar yang gagal menguasai Bahasa Malaysia sepenuhnya di Bandar dan 8.4 peratus dari luar bandar. Pelajar yang gagal tersebut mendapat gred D dan E dalam Bahasa Malaysia pemahaman dan Bahasa Malaysia penulisan.
Graf 1.0 Menunjukkan Peratusan Pencapaian Murid Yang Gagal Menguasai Bahasa Malaysia Dalam Keuputusan UPSR Dari Tahun 2001 Hingga 2009
Dengan mengintegrasikan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus akan lebih menarik minat pelajar untuk lebih mengukuhkan lagi tahap penguasaan bahasa sama ada dalam penulisan dan pertuturan. Sebenarnya, masih terdapat lagi pelajar kurang fasih dalam menguasai sebutan, penulisan khasnya untuk mengeja sesuatu perkataan iaitu lemah 3M (membaca, menulis dan mengira) di peringkat sekolah rendah walaupun sudah berada di tahun 6. Pembangunan perisian pembelajaran berbantukan komputer dalam bidang pembelajaran Bahasa Malaysia khasnya untuk pelajar yang menghadapi UPSR akan dapat memantapkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran. Keadaaan ini sejajar dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memberikan kemudahan infrastruktur asas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti makmal komputer dan pusat akses sekolah yang mempunyai kemudahan Schoolnet.
Cadangan teknik pengajaran yang akan dilaksanakan dalam sistem pembelajaran adalah seperti pelajar menonton gambar animasi dan multimedia dan pelajar cuba membina karangan dari visual yang dipaparkan. Teknik pengajaran ini akan lebih menggunakan pendekatan didik hibur. Didik hibur ini bermaksud mendidik sambil berhibur, keadaan ini adalah untuk menarik pelajar lebih fokus kepada pengajaran bahasa yang dilaksanakan.
4.0 Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan untuk melihat persepsi guru sekolah rendah menggunakan aplikasi ICT, iaitu perisian kursus(courseware) ) bagi pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Malaysia untuk pelajar sekolah rendah, khasnya pelajar tahun 6 mengikuti sukatan pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dalam pengajaran Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah.
5.0 Metodologi Kajian Yang Dijalankan
Berikut adalah metodologi penyelidikan yang akan dijalankan dalam kajian:
Rajah 1.0 Metodologi Kajian
6.0 Kajian Penyelidikan Kualitatif
Kajian ini bakal dijalankan dengan menggunakan pendekatan kualitatif iaitu dengan menggunakan pendekatan pemerhatian, temubual dan analisis dari dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kajian.
6.1 Populasi Dan Persampelan
Populasi yang digunakan adalah pihak pentadbir, guru Bahasa Malaysia dan pelajar tahun 6 di sekolah rendah kebangsaan. Kaedah kajian yang dijalankan adalah menemubual responden yang terlibat dengan pengintegrasian ICT dalam pengajaran Bahasa Malaysia.
Responden | Data Demografi |
Pihak Pentadbir | umur, latar belakang pendidikan, pengalaman menggunakan komputer, |
Guru Bahasa Malaysia | umur, latar belakang pendidikan, pengalaman menggunakan komputer dalam P&P, |
Pelajar Sekolah Rendah Tahun 6 | Minat, markah-markah yang diperolehi oleh pelajar. |
Jadual 1.0: Responden Yang Terlibat Dalam Temubual
6.2 Data Demografi
Data demografi yang akan dipungut adalah dari segi latar belakang responden, pengalaman responden menggunakan perisian kursus dalam menyampaikan pengajaran dalam kelas.
6.3 Pungutan Data
Dengan menggunakan kaedah temubual, pemerhatian dan analsis dokumen yang berkaitan dengan pembelajaran Bahasa Malaysia. Dalam kajian Kualitatif, data perlu dikumpul dan dan dianalisis secara sistematik dan bermakna. Data Kualitatif yang dikumpul dan sukar diurus kerana sifatnya yang kurang berstruktur. Beberapa jenis data Kualitatif seperti Nvivo telah banyak membantu penyelidikan Kualitatif untuk mengurus, menganalisis dan menjana teori daripada data yang dikumpul. Penyelidikan kualitatif merupakan satu konsep dan terdiri beberapa jenis penyelidikan untuk menerangkan fenomena sosial. Kaedah ini juga dikenali dengan nama yang berbeza seperti kajian semula jadi, kajian lapangan, pemerhatian ke atas bahan kajian, kajian induktif, kajian kes dan etnografi. Salah satu daripada tujuan penyelidikan kualitatif ialah memahami bagaimana manusia memenuhi keperluan asas mereka. Ia menggabungkan pengalaman dan persepsi. Justeru, penggunaan istilah atau frasa sangat jelas jika dibandingkan dengan kuantitatif. Salah satu perbezaan tersebut ialah sampel atau responden kajian yang dijalankan tersebut. Bilangan responden yang diperlukan bagi kajian kualitatif adalah kecil berbanding kuantitatif. Penyelidik kualitatif sering merasa ragu-ragu mengenai bilangan responden yang kecil ini. Hakikatnya ialah bilangan sampel yang kecil ini sudah cukup untuk menjelaskan fenomena yang dikaji. Kefahaman sesuatu fenomena adalah dari perspektif bahan yang dikaji, bukannya penyelidik. Walau bagaimanapun penyelidik adalah instrumen utama bagi pengumpulan data dan analisis. Bilangan sampel yang kecil memberi ruang yang sangat luas kepada penyelidik untuk membuat pemerhatian ke atas tingkah laku yang dikaji. Cara ini dapat mengekalkan hubungan yang berterusan di antara pengkaji dan responden tersebut. Ketika temu bual dilakukan, penyelidik akan melibatkan diri dengan cara yang tidak mengganggu proses yang hendak dikaji. Soalan yang hendak ditanya adalah mendalam supaya subjek dapat menceritakan pengalaman, keprihatinan atau pandangan terhadap isu yang dikaji. Secara umum, penyelidikan kualitatif adalah langkah untuk memahami sesuatu situasi berdasarkan konteks dan interaksi yang unik. Ia bukannya satu cubaan untuk meramalkan masa depan sebaliknya memahami keadaan apa yang berlaku dan akan berlaku selepas itu.
6.4 Data Kualitatif
Data Kualitatif merujuk kepada maklumat dan data yang berbentuk teks atau ayat-ayat yang tidak mempunyai struktur dan tidak dapat dirumuskan dalam bentuk nombor atau statistik seperti data kualitatif. Selain itu, data tersebut juga adalah dalam bentuk dokumen yang perlu di analisis oleh penyelidik.
6.5 Pengumpulan Data Kualitatif
Pengumpulan data kualitatif adalah dengan menggunakan kaedah temubual ini menggunakan transkrip dan catatan. Transkrip tersebut dalam bentuk bertulis dan juga rekod secara tape dan softcopy.
6.6 Kaedah Temubual
Tujuan utama kaedah temubual adalah untuk memahami persoalan, proses, dan situasi yang akan diselidiki. Data temubual ini dijalankan dengan cara menemubual responden dan dirakam secara audio supaya transkripsi dapat dibuat dan dianalisis.
6.7 Langkah-Langkah Menjalankan Kaedah Kajian Kualitatif diantaranya adalah:
i. Berada Dilokasi Kajian
Penemubual pergi ke komuniti atau peserta kajian yang dapat memberi jawapan kepada persoalan kajian yang bakal dijalankan. Dalam kajian yang dijalankan ini, penemubual mencari responden yang telah menggunakan proses pembelajaran di sekolah rendah. Sebelum menjalankan kajian, beberapa persediaan telah dijalankan seperti proses pemerhatian dan mengenalpasti peserta yang dapat memberi maklumat yang terbanyak mengenai kajian yang bakal dijalankan. Dalam pemerhatian ini juga, pengkaji atau (penemubual) boleh membina hubungan dan berinteraksi dengan individu-individu yang dapat memberi jawapan kepada kajian yang akan dijalankan dan memahami fenomena-fenomena yang berkaitan dengan kajian yang dijalankan.
ii. Membuat Catatan
Semasa menjalankan kajian, pengkaji atau penemubual mencatat segala maklumat yang dijalankan. Maklumat yang diperolehi sama ada darisegi pemerhatian tingkahlaku, perbualan dan juga peristiwa yang berlaku dalam persekitaran yang dikaji. Data pemerhatian yang diperolehi biasanya diperolehi dalam bentuk teks.
Cara Mengambil Nota Lapangan
i. Masa, tarikh tempat dan peristiwa dicatat dan hasil temubual tersebut direkod dengan menggunakan MP3.
ii. Ruang kosong dalam buku catatan dibiarkan ruang supaya boleh ditambah sekiranya ada apa-apa maklumat yang tertinggal.
iii. Nota tambahan juga diambil dan mencatatnya.
iv. Catatan diambil dengan menggunakan short hand.
v. Aspek pemerhatian diambil dari segi peristiwa, bahasa badan, persekitaran, interakasi dengan responden, dan beberapa maklumat lain sebagai tambahan.
iii. Temubual Individu (Peserta Kajian Yang Menggunakan Perbicangan Dalam Talian)
Data tersebut dikutip berdasarkan pengalaman dan pandangan responden mengenai topik kajian. Peserta kajian ini juga akan mendapat faedah melalui proses temubual ini kerana mereka berpeluang untuk menyatakan perpektif dan pandangan mereka. Manakala, pengkaji yang menemubual berpeluang untuk mengenali responden yang ditemubual. Dalam proses menemubual, peserta adalah seseorang yang dapat memberi respon kepada soalan-soalan kajian manakala penyelidik adalah pengkaji yang ingin mengetahui pandangan peserta tersebut. Pengkaji menerima semua jawapan yang diberi oleh peserta dan tidak memberi nilai samada jawapan itu betul atau salah. Proses ini melibatkan pengkaji bersemuka dengan peserta dan mendengar dengan teliti respon-respon peserta kepada soalan yang diajukan kepadanya.
iv. Langkah-Langkah Dalam Proses Temubual
Persediaan Menemubual: Protokol Soalan
Pengkaji menjalankan persediaan dengan bertanyakan soalan yang ditemubual kepada responden mengenai tajuk kajian yang dijalankan. Protokol soalan tersebut adalah senarai soalan-soalan yang perlu ditanya oleh penemubual (pengkaji) kepada responden (peserta). Soalan tersebut adalah mengikut susunan seperti:
Bil. | Jenis Soalan | Penerangan | Contoh Soalan Yang Akan Dikemukakan Oleh Penemual Kepada Responden |
1 | Soalan Pengenalan (Pembuka) | Membolehkan peserta (responden) kajian memperkenalkan diri | Menerangkan mengenai diri responden dari aspek pengalaman, kerja, dan latarbelakang. |
2 | Soalan Transisi | Penemubual memperkenalkan topik yang hendak dikaji dan meminta responden peserta kajian tersebut menyatakan pendapatnya mengenai kaedah belajar dengan menggunakan perbincangan secara dalam talian. | Apakah pendapat cikgu mengenai pembelajaran dengan mengintegrasikan ICT (perisian kursus) dalam pengajaran Bahasa Malaysia? |
3 | Soalan Kunci | Soalan utama yang menghasilkan jawapan kepada soalan kajian yang dijalankan | Boleh tak cikgu ceritakan pengalaman cikgu dengan menggunakan ICT dalam pengajaran Bahasa Malaysia? Apakah perasaan-perasaan yang muncul ketika cikgu menggunakan perisian kursus dalam pengajaran Bahasa Malaysia? Apakah cadangan cikgu untuk memperbaiki kesan pembelajaran yang dijalankan dengan menggunakan perisian kursus dalam pengajaran Bahasa Malaysia? |
4 | Soalan Penutup | Penemubual merumuskan apa yang telah dibincangkan seterusnya bertanyakan soalan Adakah apa-apa yang tertinggal atau ingin ditambah? Dan mengucapkan terima kasih kepada responden | Melalui pandangan yang dinyatakan oleh cikgu, saya berpendapat cikgu sangat menyokong dan berpandangan positif mengenai proses pembelajaran secara perbincangan dalam talian ni kerana kaedah ini merupakan salah satu kaedah baru dalam P&P (Pengajaran dan Pembelajaran). Ada apa-apa perkara yang cikgu tertinggal atau ingin cikgu ingin tambah berkaitan dengan proses pembelajaran berbantukan ICT? |
Jadual 2.0 : Menunjukkan contoh-contoh soalan temubual yang akan diajukan kepada guru.
7.0 Perbincangan Dan Dapatan Kajian
Dari hasil kajian yang dijalankan, kita akan mengetahui persepsi guru dan pelajar terhadap penggunaan perisian kursus yang dijalankan dan keadaan ini akan meningkatkan tahap penguasaan penggunaan Bahasa Malaysia, memerlukan sokongan dari semua pihak yang terlibat.
8.0 Rumusan
Kaedah temubual individu dan pemerhatian merupakan kaedah kajian yang perlu dijalankan dalam Kajian Kualitatif. Pengumpulan data ini memberi peluang kepada pengkaji untuk mendapat data yang diperlukan dalam temubual yang telah dijalankan. Segala data yang diperolehi ini perlulah sesuai untuk menjawab persoalan kajian yang dijalankan. Berdasarkan hasil temubual tersebut, pengkaji dapat menganalisis data yang diperolehi dan menjawab persoalan kajian yang diperlukan.
9.0 Rujukan
Atan Long (1984), “Pendidik dan Pendidikan” Fajar Bakti Sdn Bhd
Debbie Corder (2007), “Integration of ICT for Effective Learning Teaching and Assessment” International and Community Languages, School of Languages and Social Science, Auckland University of Technology.
Ibrahim Saad (1990), “Perubahan Pendidikan Di Malaysia, Satu Cabaran” Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Mahnita Mamat (2003), “Aplikasi Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Sekolah Bestari (smart school Management System-ssms” Universiti Teknologi Malaysia.
Mat Jizat B. Abdol dan Haizal B. Haron (2006), “Kajian Terhadap Murid-Murid Di Kelas Pemulihan Dari Aspek 3M Daerah Kluang” Universiti Teknologi Malaysia
No comments:
Post a Comment